Bagaimana Cara Solat Duduk Yang Betul Untuk Ibu Hamil?

Bagaimanakah Cara Solat secara Duduk yang Betul bagi Ibu Hamil?

 

Islam itu indah. Setiap aspek yang Allah syariatkan kepada hambaNya semua Allah sudah mengetahui apakah kesan dan manfaaat yang bakal dilalui oleh hambaNya.

Hari ini ingin saya berkongsi tentang keistimewaan wanita hamil yang diberikan rukhsah (keringanan atau kemudahan) oleh agama Islam dalam beberapa perkara termasuklah solat secara duduk seandainya tidak berkemampuan.

Tahap kemampuan wanita hamil berbeza-beza sebenarnya. Ada sebahagian wanita yang mampu untuk solat berdiri seperti biasa sehingga saat kelahiran.

Ada pula sebahagian wanita yang tidak mampu untuk solat secara berdiri terutamanya di saat akhir kehamilan (trimester ke-3).

Bagaimanakah Islam memberikan rukhsah untuk solat duduk ini kepada wanita hamil?

“Dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” [al-Hajj 22:78]

Namun, harus difahami bahawa anda yang lebih mengetahui setakat manakah kemampuan anda. Berlaku jujurlah dengan Allah swt dalam soal solat yang wajib ini.

Bagaimanakah Cara Solat secara Duduk yang Betul bagi Ibu Hamil?

Cara solat duduk bagi ibu hamil adalah sama sebagaimana cara solat orang sakit.

1) Penuhi semua rukun dan syarat sah solat

Biarpun solat secara duduk, anda perlu memenuhi rukun dan syarat sah solat seperti berwudu’, menghadap kiblat, menutup aurat dan lain-lain.

2) Mulakan solat dalam keadaan berdiri (jika mampu)

Kebiasaannya ibu hamil hanya mengalami kesukaran ketika rukuk dan sujud sahaja. Jarang sekali ibu hamil tidak boleh langsung untuk berdiri.

Oleh yang demikian, solat fardhu tersebut perlu dimulai dengan berdiri terlebih dahulu. Tidak boleh terus duduk.

Namun, seandainya benar-benar tidak boleh berdiri dan berjalan, dibolehkan untuk duduk.

3) Tidak boleh berterusan solat duduk (jika mampu)

Seandainya anda sudah bersolat secara duduk, namun merasa mampu untuk berdiri di pertengahan solat (masih di dalam rakaat solat), maka hendaklah kembali solat berdiri dan tidak boleh berterusan duduk.

4) Perlu sujud di atas lantai (jika mampu)

Seandainya anda mampu untuk sujud di atas lantai, maka anda perlu berbuat demikian.

Namun, kebiasaannya difahami bahawa ibu hamil mengalami sedikit kesukaran untuk sujud di atas lantai lantaran kandungan yang semakin membesar.

Oleh yang demikian, dibolehkan untuk anda sujud dengan menundukkan kepala melebihi tunduk rukuk ketika duduk.

5) Sekiranya tidak mampu untuk solat duduk, mengiring atau berbaring

Seandainya anda masih tidak mampu untuk solat secara duduk, dibolehkan untuk solat secara mengiring. Jika tidak mampu juga boleh solat secara menelentang.

Begitulah rukhsah (keringanan atau kemudahan) yang diberikan oleh agama Islam untuk wanita hamil.

Cara solat ini memberi maksud dan pengajaran bahawa biar apapun situasi dan keadaan kita, solat fardhu yang 5 adalah solat yang wajib kita lakukan walau dalam situasi apa sekalipun.

Ia adalah sebagai tanda ketaatan kita sebagai hamba Allah swt. Moga perkongsian ini memberikan manfaat buat anda ibu-ibu hamil.

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita semua untuk jalankan amanah Allah swt.

Seandainya anda sering mengalami keletihan melampau, saya sarankan anda amalkan pengambilan supplement tambahan kerana ianya sangat membantu diri anda ketika hamil lebih-lebih lagi dalam melaksanakan tuntutan Allah swt.

Alhamdulillah, kehamilan kali ini saya kurang sedikit mengalami masalah keletihan melampau. Setakat letih-letih biasa itu normal. Namun, setakat ini masih lagi diberikan kekuatan oleh Allah swt untuk solat secara berdiri.