Daripada Berhabis Duit Buat Rawatan Rambut,Bakal Pengantin Baik Cuba Tips Ni

Rambut merupakan aset terpenting terutamanya wanita dalam mempamerkan penampilan diri. Bagi bakal pengantin, rambut merupakan mahkota yang perlu diberi perhatian agar ia kekal sihat dan segar di majlis perkahwinan.

Tidak hairanlah jika ada segelintir wanita yang sanggup berhabisan duit demi memastikan aset berharga mereka ini terus terpelihara termasuklah melakukan rawatan yang menelan ratusan ringgit bahkan boleh menjangkau ribuan ringgit.

Namun daripada anda berhabisan duit dan belum tentu hasilnya memuaskan, apa kata anda cuba 6 petua mudah dan menjimatkan ini agar ia mampu menjadikan rambut anda kekal cantik dan sihat.

1.Lidah Buaya
Daun lidah buaya mengandungi zat yang mampu merangsang pertumbuhan rambut sehingga rambut akan menjadi lebat dan sihat. Cara menggunakannya adalah dengan membelah daun lidah buaya tersebut dan oleskan lendirnya ke seluruh bahagian rambut hingga rata. Kemudian tutupkan dengan kain selama 30 minit. Kemudian bilas.

2.Daun Waru
Daun waru dapat menjadikan rambut anda lebih hitam dan bersinar. Caranya adalah dengan menumbuk sejumlah daun waru sehingga mengeluarkan lendir. Pisahkan antara lendir dan daun waru yang sudah hancur dengan cara menyaringnya.

Tempatkan lendir daun waru ke dalam bekas dan kemudiannya embunkan selama 24 jam. Setelah itu, anda boleh menggunakannya dengan cara mengoles lendir tersebut ke seluruh bahagian rambut.

3.Minyak Kemiri
Minyak kemiri boleh didapati di toko jamu atau boleh dibuat sendiri. Cara membuatnya adalah dengan menumbuk kemiri hingga halus kemudian campurkan dengan air. Sangai campuran tadi hingga mengeluarkan minyak. Oleskan minyak kemiri ke rambut sehingga rata dan biarkan beberapa minit.

4.Sayangi Rambut Anda
Jangan menggosok rambut dengan terlalu kasar kerana bakal merosakkan sel-sel didalamnya yang akan menyebabkan keguguran. Sebaiknya, keringkan rambut dengan cara mengangin-anginkan hingga kering atau menggunakan pengering rambut elektronok secara perlahan dan lembut.

5.Makanan Sumber Protein
Anda juga harus mengambil makanan yang kaya dengan protein. Kandungan protein akan menjadikan rambut lebih halus dan bersinar. Contoh makanan yang kaya dengan protein ialah telur, kacang, ubi dan lain-lain.

6.Hindari Sinaran Matahari
Untuk menjaga kesihatan rambut, anda juga perlu menghindari dari sinaran cahaya matahari yang terlalu kuat. Sinaran matahari pada waktu tertentu yang terlalu terik boleh membuatkan rambut anda menjadi kering dan kusam. Sebaiknya, pakailah pelindung seperti topi ketika cuaca panas terik.