Nak Bau Syurga? Jagalah Suami Wahai Isteri, Taat Dan Senangkan Hati Suamimu.

‘Syurga terletak di telapak kaki suami’ adalah sinonim dengan nilai ketaatan seorang isteri. Ketahui sejauh mana ketaatan isteri kepada suami.

Tanggungjawab seorang isteri yang paling utama ialah taat dan patuh kepada suaminya. Ketaatan seorang isteri kepada suami berada di tahap teratas, melebihi segala ketaatan kepada sesiapa pun juga termasuk ibu dan ayah kandung si isteri sendiri. Sabda Rasulullah SAW: “Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang supaya sujud kepada orang lain tentu sekali aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya.” – hadis riwayat Abu Daud dan al-Hakim.

Isteri hendaklah mematuhi perintah si suami asalkan ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Sebaliknya, jika isteri disuruh melakukan perkara di dalam larangan Allah SWT, isteri berhak menentang dan melawan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak boleh mentaati mahluk dalam perkara menderhaka kepada Allah SWT.” – hadis riwayat Ahmad.

Pengecualian bagi kes isteri yang ingin mengerjakan ibadah sunat kepada Allah SWT. Larangan suami di dalam kes ini tidak termasuk di dalam perkara menderhaka kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: “Tidak halal bagi seseorang isteri yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk berpuasa, sedangkan suaminya ada di sampingnya kecuali dengan keizinan suaminya itu.” – hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, dan Ahmad Ibn Hanbal.

Larangan berpuasa tanpa keizinan suami ini diwujudkan kerana dibimbangi si isteri tidak dapat melayani kehendak si suami dengan baik. Oleh sebab itu, meminta izin adalah sangat penting.

Percaya atau tidak, kaum wanita adalah lebih mudah untuk masuk syurga kerana mereka hanya perlu taat kepada suami. Namun, sejak akhir-akhir ini saya sering menerima emel daripada para suami yang menceritakan perihal isteri masing-masing yang bersikap kasar, biadap, tidak menghormati suami… berbeza sekali dengan sikap wanita yang terkenal sebagai makhluk yang lemah lembut dan penyayang. Tak kurang juga aduan tentang isteri yang pandai bermain kayu tiga.

Malahan satu emel lain, pengakuan seorang isteri tentang kecurangannya kepada si suami. Saya akui wanita ini berani dan jujur kerana mengakui kesalahannya dan syukurlah hidayah masih terbuka untuknya. Namun persoalannya, kenapa wanita kita kini jadi makin liar… tiada lagi rasa kasih apatah lagi simpati?

Apakah ini yang kita perjuangkan selama ini? Ingin mendapatkan hak kesamaan antara kita dan kaum lelaki hatta menumbangkan segala kebanggaan sifat kasih sayang dan lemah lembut yang ada di dalam diri? Demi sebuah impian yang belum pasti yang ingin kita kecapi, wajarkah kita abaikan pengorbanan insan yang ikhlas menyayangi dan menyintai kita selama ini? Patutkah kita rosakkan masa depan anak-anak yang kita lahirkan ke dunia ini demi mencapai kepuasan sendiri?

Sungguh, saya rasa amat sedih bila mengenangkan semua ini. Kenapa perlu kita rosakkan segalanya apabila kaum lelaki merelakan kita menyaingi mereka secara sihat? Jika dahulu wanita hanya betah di dapur tapi kini wanita sudah berada di angkasa raya. Jika dahulu wanita hanya menghayun buaian tetapi kini tangan wanitalah yang menggegarkan dunia. Tidak cukupkah semua itu? Perlukah harga diri dan maruah kita dicemari kerana status kita yang lebih gah kini?

Ingatlah kaum wanitaku semua, walau siapa pun kita… walau apa juga jawatan yang kita pegang… walau apa juga gelaran atau bintang yang kita perolehi… selagi kita bernama ibu dan isteri, selagi itulah kita perlu hormat, taat dan cintakan suami sepenuh hati. Bukannya sekadar cinta di kala suami berharta tetapi cinta sepanjang masa… di waktu senang juga di masa susahnya. Ya, saya tahu tugas menyara keluarga terletak di bahu suami tetapi dah nama sebagai isteri dan rakan kongsi suami, kita wajar membantu suami di kala suami susah dan menghadapi masalah kewangan dan segala masalah lainnya.

Bukannya bererti apabila tanggungjawab nafkah adalah di bahu suami dan apabila suami menghadapi masalah menunaikan kewajipannya itu, kita harus angkat kaki ataupun mencari lelaki lain sebagai pengganti. Inilah antara kes yang diadukan kepada saya sejak akhir-akhir ini. Sewajarnya, apabila keadaan ini terjadi, kita sebagai isteri menghulurkan bantuan dan sokongan kepada suami. Bantu selagi daya, sokong segala cara.

Ya… mungkin ada yang bimbang jika bantuan yang diberi disalahgunakan oleh suami. Risau jika sokongan yang dihulur, disalaherti pula oleh suami. Seperti yang pernah saya nyatakan dalam siri ceramah dan penulisan saya, rekodkan setiap perbelanjaan yang kita hulurkan demi bantuan dan sokongan tersebut. Simpan segala bukti, insyaAllah, bukan meminta tetapi jika berlaku sesuatu yang tidak diingini di belakang hari, kita dah cukup pertahanan diri.

Ingatlah kata-kata hikmah… di belakang seorang lelaki pasti ada seorang wanita… apa ertinya? Ertinya kita sebagai isteri merupakan penyokong kuat suami kita. Suami memerlukan sokongan kita sepanjang masa. Sukar bagi seorang lelaki untuk berjaya tanpa mendapat sokongan isterinya. Ya… memang perit dan payah tambah lagi apabila segala pengorbanan sukar dihargai tetapi ingatlah… kerana kita wanitalah maka kita ditakdirkan sebagai isteri kerana hanya wanita yang mempunyai ketabahan hati dan kesabaran yang tinggi berbanding lelaki. Kerana itulah juga, betapa mudahnya kita mendapat jaminan syurga..!

Tanggungjawab seorang isteri yang tak kurang pentingnya dan perlu dilaksanakan oleh setiap wanita bernama isteri ialah menyenangkan hati suami. Menyenangkan hati suami yang bagaimana? Apakah perlu menurut segala kehendaknya? Jawapannya; memang benar. Isteri perlu menurut kehendak suami selagi tidak menyalahi tuntutan syarak. Isteri perlu menjaga hati suami agar tidak terluka atau terguris. Isteri perlu menjaga penampilan agar suami senang hati memandang. Isteri perlu menghargai setiap pemberian suami. Elakkan daripada menunjukkan muka yang sedih, masam atau marah di hadapan suami.

Menyenangkan hati suami juga ialah menggembirakan hati suami dan tidak membebankan suami dengan perkara sia-sia. Menggembirakan suami termasuklah membenarkan suami membahagiakan hati ibu bapanya, bukannya menggunakan suami untuk menyusahkan ibu bapa suami anda hingga suami anda mengecilkan hati ibu bapanya.

Kes-kes sebegini sering terjadi apabila si suami cuba melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai anak ataupun isteri memaksa suami mendapatkan harta ibu bapa demi memenuhi kehendak nafsu sendiri. Seperti yang pernah saya jelaskan, setiap anak lelaki dan anak perempuan mempunyai tanggungjawab kepada ibu bapa masing-masing. Seorang lelaki yang berkahwin juga berhak menunaikan tanggungjawab kepada ibu bapanya selagi hak isteri dan anak-anak tidak terabai. Sekali lagi saya tegaskan, hak anda sebagai isteri dan anak-anak adalah perkara yang menjadi keperluan semata-mata, bukannya satu kemewahan.

Pernah dengar kisah seorang sahabat Rasulullah s.a.w bernama Alqamah? Alqamah tidak dapat mengucapkan lafaz syahadah di saat kematiannya. Bukan sekadar tidak mampu mengucap syahadah tetapi tersiksa ketika mendepani saat terakhir kehidupannya. Hinggalah Rasulullah s.a.w meminta ibu Alqamah mengampunkan dosanya barulah Alqamah dapat melafazkan syahadah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sebenarnya, kesalahan Alqamah bukanlah besar malah tanpa disengajakan. Alqamah hanya tidak menjamah makanan yang dibawa oleh ibunya ketika bertandang ke rumah Alqamah. Si ibu berasa kecil hati kerana merasakan Alqamah tidak sudi menjamah masakannya lagi setelah mempunyai isteri. Hanya kerana kesalahan sekecil itu, Alqamah mendapat penyiksaan yang besar. Bayangkan jika kesalahan yang lebih besar anda lakukan kepada ibu dan juga bapa anda?

Sebagai seorang isteri, anda berperanan untuk menjadikan suami anda seorang anak yang soleh dan diredhai oleh ibu bapa suami anda kerana dengan redha merekalah, Allah akan meredhai kehidupan suami anda malahan kehidupan anda juga. Walaupun suami anda tidak mempunyai tanggungjawab sepenuhnya kepada ibu bapanya, apalah salahnya jika anda benarkan malah sebaiknya juga anda mendorong agar suami anda melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapanya.

Hakikatnya, setiap individu perlu melaksanakan tugas dan kewajipan masing-masing. Tak perlu berkira, tak perlu berdengki. Ingatlah, anda telah mengikat janji kasih sayang sebagai suami isteri. Berusahalah untuk merealisasikannya.

SUZANA GHAZALI merupakan Perunding Psikologi Keluarga dan Peguam Syarie. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dan sentiasa dijemput oleh media-media penyiaran tempatan seperti TV3, Astro, RTM untuk menjadi panel mengupas isu rumah tangga,perkahwinan dan kekeluargaan.

Sumber:Beautiful Nara