Pedulikan bila orang mencerca, gila besi, gila harta. Tak perlu setia dengan jantan tak guna

Aku tersenyum lemah melihat gambar bekas teman wanita bersanding bahagia di hari perkahwinannya. Pelamin idamannya indah, seperti yang selalu dia kongsikan dengan aku dahulu. Citarasanya ringkas, tetapi elegan.

Dia undang aku ke majlis, tapi aku yang tidak hadir. Majlisnya di bulan Syawal yang mulia. Aku sibuk. Sibuk terperuk di rumah menjeruk rasa di dalam balang kesedihan. Mujurlah hati aku letaknya di dalam tubuh. Kalau hati ini boleh dipamerkan di luar jasad, entah bagaimana rupanya. Hancur di siat-siat, mungkin.

Aku tersenyum lemah. Aku terkenangkan di mana silap aku. Sampai dia boleh bersanding dengan lelaki lain.

Aku akui, lelaki itu kalau ingin dibandingkan dengan aku bezanya bagaikan langit dan bumi. Kerjayanya. Keretanya. Ketebalan poketnya. Sasa tubuhnya.

Aku? Kerja entah ke mana. Duit poket tak usahlah cerita. Tubuh pula macam taugeh tak cukup air. Padanlah dia tinggalkan aku.

Aku bersama dengan wanita itu bukan baru sebulan dua. Aku dengan dia kenal sejak kami di alam persekolahan. Dia lebih muda daripada aku.

Dia cantik. Ditambah dengan hobinya yang suka bermekap, bergaya mengikut trend terkini. Selain cantik, dia rajin bekerja. Aku teringat dia mula kerja di sebuah gedung pakaian, daripada dia habis belajar sampailah tahun ini tahun ke enam dia bekerja. Basicnya sudah banyak, pangkatnya sudah naik.

Sungguh, dia wanita yang sempurna di mataku. Bakatnya dalam memasak juga tidak boleh dinafikan. Apa lagi yang tak kena. Pendek kata lelaki mana yang tidak suka. Aku dikira untung pernah memilikinya.

Walaupun aku tak punya apa-apa. Aku naik motor Kriss. Daripada mula kami berkawan, sampai sekarang. Aku ada kereta, Toyota GL. Itu pun aku minta ayah belikan. Hasil duit KWSP ayah.

Aku sering dengar bekas teman wanitaku merungut kerana aku tidak bekerja. Bila dia tahu di mana-mana tempat ada kerja kosong, lekas-lekas dia menggesa aku pergi memohon. Tapi aku buat muka enggan.

Baju aku. Seluar aku. Kasut aku. Kebanyakannya dia yang belikan. Kalau yang nampak kemas, yang berjenama hebat sikit tu, memang dia la yang sedekahkan. Bila dia gaji, dia berbelanja di mall, dia tak lupa bahagian aku..

Bila dia cuti, dia ajak aku temankan ke mana-mana, minyak kereta, makan minum kami dialah yang sponsorkan.

Pendek kata. Aku ni entahlah. Macam lelaki tak guna. Tiada apa boleh dibanggakan. Kereta, motor ada pun sebab ayah belikan. Baju, seluar, awek belikan. Manja sungguh aku ni. Bertuah sungguh.

Aku sendiri tidak ingat bagaimana aku boleh menganggur terlalu lama sebegini. Aku pernah bekerja, dulu. Tapi entah macamana company aku lingkup. Lepas daripada itu aku macam mengalah.

Aku sedar aku tak patut jadikan itu alasan.. Aku memang malas. Sudahlah begitu, aku suka mencari salah teman wanitaku. Bila dia buat salah memang aku maki sepuas hati. Bila aku buat salah, dan dia marah, aku cepat-cepat alihkan topik. Cepat-cepat aku lupakan.

Teruk kan? Selalu aku bergaduh dengan dia. Bila dia abaikan aku, merajuk.. Aku cakap dia cuma cari aku bila dia nakkan pertolongan. Masa tu dia tak pandai bawa kereta. Dia belum ada lesen.

Bila cuaca hujan, dia minta aku hantarkan dia ke tempat kerja. Aku sasarkan benda tu. Kadang-kadang aku saja nak balas, aku biar dia bermotor dalam hujan. Langsung takda rasa bersalah.

Aku paksa dia minta maaf untuk salah yang dia tak lakukan.. Aku layan dia macam sampah.

Dia selalu tanya aku, kita bila nak kahwin. Aku cepat rimas dengan soalan dia. Aku dah la takda kerja. Nak kumpul duit celah mana. Hujung-hujung mesti bergaduh bila soalan tu dia bangkitkan. Mungkin dia rasa umur dia makin meningkat, dan aku langsung tiada unsur untuk maju memikirkan masa hadapan kami.

Dia perlahan-lahan berubah. Bila dia dah beli kereta. Dia dah ada lesen. Dia boleh ke mana-mana, tanpa bantuan aku lagi. Aku dan dia dah jarang berjumpa.

Aku perasan, bila aku cari pasal ke apa dia dah malas nak melayan. Dia dah tak ambil hati, dia diam je. Dia iyakan saja. Dia dah tak minta maaf, pujuk aku.

Jauh. Makin hari makin jauh. Sampai satu hari, terjawab semuanya. Aku tunggu dia balik kerja, tapi parking jauh sikit dari rumah dia. Kereta dia ada di rumah. Aku ingat dia bawa motor.

Sekali ada satu kereta lambang H, parking depan rumah dia. Aku tak berapa nampak lelaki yang rampas teman wanita aku tu, tinted dia gelap. Tapi aku dengar teman wanita aku ketawa, manja.

Hati aku luluh masa tu. Aku dengar, i love you too, katanya.

Elok je kereta tu berlalu, aku terus pergi dekat dia. Dia tengah usaha buka mangga pagar rumah dia. Aku tak cakap banyak, aku tampar muka dia. Dua kali. Aku dengar dia sebut, Allahuakhbar. Allahuakhbar.

Dia tergamam. Aku tanya dia itu siapa. Dia diam. Dia jatuh terjelopok. Aku rampas handbag dia. Aku cari handphone dia. Dia cuba rampas balik, aku tolak dia. Dia yang tengah pening jatuh lagi. Wallpaper phone dia dah bertukar. Bukan gambar kami lagi.

Tapi gambar lelaki sasa beruniform JPJ. Menggeletar tangan aku. Aku macam dah hilang pertimbangan. Aku sedih gila masa tu. Terjawab semua persoalan aku.

Kami bergaduh di depan rumah dia, sampai housemate dia terpaksa keluar dan leraikan. Aku tampar dia, hidung dia berdarah. Esoknya mata dia lebam. Masa tu, aku puas hati..

Aku cakap dia perempuan murahan. Aku cakap macam-macam. Dia menangis. Aku pesan jangan cari aku lagi.. Itulah kali terakhir aku jumpa dia.

Balak baru dia datang rumah aku esoknya. Aku jenguk di tingkap saja. Aku seram pula. Aku pernah lihat dia, dia yang selalu bertugas di sekatan-sekatan jalanraya. Dia yang selalu minta ic dan lesen pemandu-pemandu kenderaan.

Dayus, aku dayus. Pukul perempuan. Aku tetap rasa aku tak salah. Aku masih rasa dia salah, sebab dia tak setia dengan aku. Dia dah janji nak kahwin dengan aku..

Aku cerita dekat kakak aku, tanpa usul periksa kakak aku mesej dia maki hamun dia. Dia diam saja. Tak membalas tak menghamun.

Lama kelamaan. Bulan berganti bulan. Barulah aku terasa broken habis. Aku mula call dia. WhatsApp dia. Minta maaf, merayu. Janji nak cari kerja. Janji nak kahwin. Menangis depan rumah dia. Sampai housemate dia baling aku dengan kasut sukan. Sebab dia geram, agaknya.

Bekas teman wanita aku keluar akhirnya, dia suruh aku blah. Sebelum dia report polis. Aku menangis untuk yang kesekian kali dan berlalu.

Silap aku. Aku terlupa bukan selamanya wanita akan bersabar. Dia dah bagi aku masa yang cukup lama untuk aku usahakan bina masa depan kami. Aku yang sia-siakan. Aku lupa dia cantik. Dia pandai bergaya. Alangkan pegawai tinggi pun pandang dia berkali-kali. Inikan aku. Yang muka pecah macam jamban tak siap.

Dia yang rajin bekerja. Siang dan malam kerja. Mengalahkan aku. Yang namanya lelaki, tapi kerjanya membuta di rumah..Bangkit menjelang tengahari, buka tudung saji.

Betul janji Allah. Orang yang baik, untuk orang yang baik.

Dia pilih untuk bahagia.

Dia layak bahagia. Seperti seharusnya. Dia layak dapat lelaki yang bekerjaya bagus. Dia tinggalkan aku tanpa langsung menoleh ke belakang. Dia tinggalkan kenangan enam tahun bersama aku tanpa resah. Dia tak mengungkit langsung, segala pemberian dia.. Dia halalkan semua untuk aku. Dia maafkan aku lukai jasad dan hati dia.

Aku? Aku tertunduk lesu. Air mata aku merembes tanda hati aku terlalu terluka melihatkan lelaki itu peluk mesra pinggang dia. Cium dahi dia. Dan dia relakan semua tu.

Hati aku remuk redam baca caption dia di instagram.

“encik ni masa saya test lesen ada kat sebeleh. ni masa saya bersanding atas pelamin pun ada kat sebelah juga. eh, tak puas kejar lori tengah jalan, saya pun encik nak kejar?”

Comel pick up line dia.. Air mata aku menitis makin laju. Allah.

Untuk semua wanita-wanita yang rajin bekerja. Yang baik hati. Yang buat kebaikan tanpa mengungkit. Pilihlah untuk bahagia. Kalian layak bahagia..

Memilih suami adalah memilih masa depan. Pedulikan bila orang mencerca, gila besi, gila harta. Tak perlu setia dengan jantan tak guna.

Sumber : IIUMC